Khamis 3 November
2016 / 3 Safar 1438
TOKOH Nilam Bahasa
Melayu Sekolah Rendah (SK), Aisyah Najihah Kamarulzaman dari SK Bellamy; Tokoh
Nilam Bahasa Melayu Sekolah Menengah, Nur Syafiqah Aminuddin dari SMK Sains
Seri Puteri; Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Sekolah Menengah, Kamali Kannan dari
SMK Sains Seri Puteri dan Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, Ng Zhi
Ning dari SJKC Kuen Cheng 2 pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Membaca
Program Nilam 2016 di Kolej Antarabangsa YPC, hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK
LATIF
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Empat pelajar sekolah rendah dan
menengah akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam
Pertandingan Membaca Program Nilam peringkat kebangsaan tahun hadapan selepas
dinobatkan sebagai johan tokoh kategori masing-masing, di sini hari ini.
Empat pelajar tersebut, Aisyah Najihah Kamarulzaman, 11, (SK
Bellamy); Nur Syafiqah Aminuddin, 16, (SMK Sains Seri Puteri); Ng Zhi Ning, 11,
(SJKC Kuen Cheng 2) dan K. Kamali, 16, (SMK Sains Seri Puteri) menjadi Johan
Tokoh Nilam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kategori sekolah rendah dan
menengah.
Bagi Aisyah Najihah, kemenangannya itu sama sekali tidak
dijangka kerana saingan yang sangat sengit daripada wakil sekolah lain.
“Saya memang gemar membaca dan sering digelar ulat buku oleh
rakan sekelas dan kini peluang mewakili WPKL ke peringkat kebangsaan akan saya
manfaatkan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian
Hadiah Pertandingan Membaca Program Nilam WPKL yang disempurnakan Timbalan
Pengarah Pendidikan WPKL, Ismail Musa, di Kolej Antarabangsa YPC, di sini hari
ini.
Sementara itu, bagi Kamali yang memenangi kategori Bahasa
Inggeris peringkat sekolah menengah pula, beliau akan membuat persediaan yang
secukupnya bagi menghadapi cabaran di peringkat kebangsaan tahun hadapan.
“Buat masa sekarang, saya masih terkejut kerana berjaya
memenangi pertandingan ini, jadi saya akan mendapatkan bantuan daripada guru
sekolah untuk rancangan seterusnya.
“Tabiat membaca memang patut diamalkan masyarakat di semua
peringkat umur, ia dapat meluaskan pengetahuan terhadap perkara yang tidak
mampu dijangkau dalam masa yang singkat,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Posted By Library Assistant