Pusat Sumber Sekolah ialah suatu tempat yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan serta koleksi bahan P&P yang diuruskan secara sistematik. Pusat Sumber Sekolah memberi maklumat, khidmat, dan peluang bagi mengukuhkan kaedah dan pendekatan P&P untuk menguasai kemahiran bagi keperluan individu
serta mempertingkatkan mutu pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berfikir, berilmu, gemar membaca, celik maklumat, dan berbudaya maju serta berupaya meraih kecemerlangan menerusi pendidikan sepanjang hayat. Minat untuk menuntut ilmu sepanjang hayat, untuk membaca sebanyak mungkin, tidak akan lahir atau bertahan jika manusia menghadapi kekeringan bahan bacaan yang bermutu yang dikendalikan oleh Pusat Sumber Sekolah yang berkualiti.
Sehubungan itu, pemantauan terhadap Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan sebahagian bidang pengurusan sekolah yang perlu diberikan perhatian khusus dari semasa ke semasa, khasnya oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) dan Pusat Kegiatan Guru. Unit Perkhidmatan Sumber Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur perlu mengadakan satu Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah supaya dapat melahirkan lebih banyak Pusat Sumber Sekolah yang cemerlang, berkesan, dan berfungsi.
Unit Perkhidmatan Sumber Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur telah melaksanakan Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah pada 18 hingga 22 Mei dan 25 hingga 28 Mei 2009. Pada 18 hingga 22 Mei Khidmat Bantu PSS telah dilaksanakan di SJKC Tsun Jin manakala pada 25 hingga 28 Mei Khidmat Bantu PSS telah dilaksanakan di SMK Aminuddin Baki.
Pada tahun 2009 kriteria sekolah-sekolah yang dipilih berdasarkan:
i. Tidak mencapai 70 peratus markah daripada markah penilaian Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri.
ii. Pusat Sumber Sekolah yang dipilih perlu berhampiran dengan sekolah lain supaya
boleh dilawati dan dicontohi.
PELAKSANAAN KHIDMAT BANTU BTPNWPKL TAHUN 2009
Khidmat Bantu PSS ini akan dilaksanakan selama 5 hari / 4 hari.
Pelaksanaan Khidmat Bantu PSS telah dibantu oleh enam orang juruutama yang terdiri daripada Guru Perpustakaan dan Media (GPM).